fb fb fb fb fb

Tiga lelaki ditahan edar dadah, air ketum

PADANG BESAR, 6 Jun- Tiga lelaki ditahan dalam dua serbuan berasingan di sekitar Padang Besar dan Beseri dipercayai terlibat aktiviti pengedaran dadah dan air ketum.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, dalam serbuan pertama pada Jumaat lalu, polis merampas 80 bungkusan air ketum bernilai RM400 dan menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di Batu 20, Padang Besar.

"Suspek dipercayai melakukan perbuatan mengedar air ketum sejak sebulan lalu dan kes disiasat dibawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya menerusi satu kenyataan.

(Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah, Ketua Polis Daerah Padang Besar)

Sementara itu, serbuan kedua dilakukan pada awal pagi Sabtu di sebuah rumah di Beseri.

Jelas beliau, dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 37 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

Turut dirampas 137.78 gram heroin bernila RM1,848, ganja seberat 85.90 gram bernilai RM212.50 dan syabu seberat 27 gram bernilai RM972.

"Hasil saringan mendapati kedua-dua suspek positif syabu dan suspek dipercayai menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat pengedaran dadah sejak awal tahun ini untuk pasaran sekitar Beseri dan Padang Besar," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Polis kini giat mengesan anggota sindiket terbabit yang masih bebas.

Media Baharu