KUANTAN, 4 Julai- Tiga laluan sekitar Dataran Sayangi Kuantan di sini akan ditutup serta dilencongkan secara berperingkat sempena Program MADANI Rakyat Zon Timur 2024 bermula esok hingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, antara jalan yang terlibat adalah Jalan Mat Kilau, Jalan Tanah Putih dan Jalan Kemunting.
"Penutupan untuk Jalan Kamunting adalah secara terpilih iaitu bagi kenderaan penduduk sekitar, kita akan benarkan (mereka masuk). Selain itu, bagi acara Kuantan City Half Marathon yang akan bermula Ahad pagi, penutupan jalan akan dilakukan secara berkala di laluan utama bermula pukul 4.00 pagi.
"Antara jalan terlibat Jalan Tanah Putih, Jambatan Putra, Jambatan Tanjung Lumpur dan Jalan Besar. Penutupan jalan ini, kita akan lakukan secara berkala dan kita juga akan memastikan mana lokasi yang dijangka akan berlaku kesesakan lalu lintas, kita akan meletakkan anggota trafik dari Kuantan," katanya dalam temu bual menerusi Pahangfm hari ini.
Maklumat lanjut berhubung penutupan dan lencongan jalan sempena Program MADANI Rakyat Zon Timur boleh dirujuk di Facebook Polis Kuantan.
Pengunjung juga dinasihatkan untuk menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik.
Beberapa lokasi tempat letak kereta awam turut disediakan bagi memudahkan pengunjung antaranya Stadium Darul Makmur, Medan Warisan, Serambi Teruntum, Taman Kerang dan Taman Esplanade Kuantan.
Tambah Wan Mohd Zahari, seramai 376 pegawai dan anggota termasuk anggota bantuan dari luar daerah Kuantan telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan awam sempena program yang akan berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan di sini selama tiga bermula esok.