
SEREMBAN, 15 Januari -Tiga individu mengalami sesak nafas dalam satu insiden kebocoran gas ammonia di susur keluar ke Plaza Tol Seremban arah Kuala Lumpur, petang tadi.
- Tiga individu mengalami sesak nafas akibat kebocoran gas ammonia di susur keluar Plaza Tol Seremban arah Kuala Lumpur.
- Insiden berpunca daripada satu daripada 15 tong silinder ammonia yang bocor di atas lori.
- Operasi penstabilan segera dijalankan oleh 17 anggota bomba termasuk unit HAZMAT, FRT dan EMRS.
- Bomba menutup kebocoran dengan 'absorbent towel' sementara menunggu kontraktor memindahkan muatan.
Kejadian berpunca daripada kebocoran satu daripada 15 tong silinder gas ammonia yang dibawa sebuah lori.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.40.
Susulan itu, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 serta BBP Seremban digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan terdiri daripada 17 anggota serta tiga jentera, termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan unit HAZMAT.
Komander Operasi, Penolong Bomba Kanan I Mohd Faizal Abdul Rahman berkata, operasi penstabilan awal segera dilaksanakan.
“Pasukan bomba menutup tong silinder yang bocor menggunakan ‘absorbent towel’ bagi mengawal kebocoran.
Langkah itu dibuat sementara menunggu kontraktor menjalankan kerja pemindahan muatan gas ammonia dari lori terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberitahu, mangsa yang mengalami sesak nafas, masing-masing seorang pengawal keselamatan PLUS, seorang petugas tol PLUS dan seorang pemandu lori.
Kesemua mangsa kemudian diberikan rawatan lanjut.
Insiden berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.05 petang.
JBPM menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur keselamatan ketika mengendalikan atau berada berhampiran bahan berbahaya.