MUAR, 16 April- Tiga sekawan berusia 20 dan 22 tahun disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Pagoh, berjaya diberkas polis menerusi tangkapan di dua lokasi berasingan, sekitar Kulai dan Muar, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, ketiga-tiga suspek berjaya ditahan dalam tempoh 24 jam sejurus laporan berhubung insiden itu diterima pihaknya.
"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki warga tempatan dibuat di Lebuhraya Utara Selatan, susur keluar Pagoh, kira-kira pukul 9.00 pagi.
"Manakala dua lagi individu, ditahan di sebuah taman di Kulai, pukul 11.40 malam, hari sama," katanya.
Kesemua mereka, merupakan suspek utama bagi insiden jenayah samun terhadap empat orang pelajar wanita di sebuah asrama UTHM, Pagoh, pada pukul 3.00 pagi, semalam.
Ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah, dengan dua daripada mereka, masing-masing mempunyai 27 dan 33 rekod jenayah lampau.
Dalam operasi itu, 3.15 gram dadah jenis syabu, 24 peranti vape, seutas rantai emas, 17 telefon bimbit, tiga buah laptop, dua buah tablet dan sebilah pisau turut dirampas.
Supek disyaki menggunakan kesemua peralatan berkenaan dalam jenayah terbabit selain menyita tiga buah kenderaan.
Kes disiasat mengikut seksyen 395 kanun keseksaan.