PUTRAJAYA, 29 Mei- Tiga fasa pelaksanaan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dijangka selesai dalam tempoh 10 tahun.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pihaknya akan memperkasa proses libat urus bersama peserta industri dalam sektor itu selain institut pengajian tinggi.
"Dia sebenarnya dalam fasa pertama itu kita jangkakan lebih kurang lima tahun. Fasa kedua dan fasa ketiga itu sudah tentu kalau tanya kementerian. Dia kata lima tahun, lima tahunlah.
"Tetapi saya rasa kita kena lebih agresif. Dia punya fasa itu dia tak tengok tahun tetapi dia tengok target," katanya dalam sidang media Strategi Semikonduktor Nasional di sini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan industri semikonduktor Malaysia dijangka menarik sekurang-kurangnya RM500 billion pelaburan dalam fasa pertama NSS.
NSS distrukturkan dalam tiga fasa untuk merangsang kerjasama dengan syarikat di seluruh ASEAN, Asia dan peringkat global.
Dalam pada itu rantaian nilai semikonduktor negara akan ditambah baik bagi mencapai agenda NSS.
Zafrul berkata, perkara itu melibatkan peralihan daripada ujian dan pemasangan penyumberan semikonduktor (OSAT) kepada peluang rantaian nilai lebih tinggi yang melibatkan dua elemen iaitu reka bentuk dan pembuatan semikonduktor.
"Jadi pada masa ini kita di Malaysia, OSAT hanya enam peratus dari segi sumbangan. Itulah sebabnya kita nak fokus untuk naikkan rantai nilai dari segi rekaan semikonduktor itu sendiri.
"Kita ingin tingkatkan keupayaan dalam reka bentuk, dan juga perisian 'embedded' dan memberikan fokus kepada syarikat-syarikat tempatan," katanya.
Pihaknya juga menggalakkan syarikat tempatan untuk melabur dan membangunkan reka bentuk litar bersepadu selain mengadakan libat urus bersama agensi dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam memperkasa usaha tersebut.