fb fb fb fb fb

Tiga anak Allahyarham Muhammad Basir terima sumbangan Tabung Kasih HAWANA

Fahmi Fadzil melawat anak-anak bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar

SERI KEMBANGAN, 16 Februari- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA hari ini kepada keluarga Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar, bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, yang meninggal dunia semalam akibat sakit kronik.

Sumbangan itu bagi mengurangkan beban keluarga allahyarham terutama anak-anaknya yang kini telah menjadi yatim piatu setelah kehilangan kedua ibu-bapanya. 

"Saya akan cuba dapatkan maklumat mengenai nombor telefon ynag digunakan oleh ketiga-tiga anak ini. Insyaa-Allah sekiranya pelan tersebut merupakan pelan pascabayar saya akan bantu untuk membayarkan Internet mereka untuk setahun.

"Ia untuk mengelakkan sebarang masalah sekiranya anak-anak ini cuba untuk berhubung dengan ahli keluarga, saudara atau sesama mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Allahyarham Muhammad Basir Abu Bakar di sini.

Pihaknya juga akan meneliti sekiranya keluarga allahyarham layak menerima manfaat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa satu perbincangan akan diadakan dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi mencari mekanisme terbaik untuk membantu bekas pengamal media mengalami penyakit kronik.

"Setakat ini jumlah penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA adalah seramai 303 orang dan insya-Allah kita akan terus menyantuni dan mungkin saya akan bincang dengan pihak Bernama berkenaan cara-cara untuk membantu terutama bekas wartawan yang mungkin mengalami masalah sakit kronik dan sebagainya," katanya.

Usaha tersebut untuk membantu golongan terjejas atau menghadapi kesukaran, khususnya bagi bekas wartawan yang menghadapi penyakit kronik.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI