Tidak akan laksana semula GST, bebankan rakyat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 12 November -Kerajaan MADANI tidak bercadang memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berikutan sistem percukaian itu disifatkan membebankan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • GST dianggap cukai menyeluruh yang melibatkan rakyat tanpa mengira tahap pendapatan, berbeza dengan SST.
  • Kerajaan perlu menelitinya dengan lebih terperinci sebelum mempertimbangkan semula pelaksanaan.
  • Pelaksanaan GST pada 2018 melibatkan kira-kira 700,000 perniagaan, berbanding 130,000 perniagaan bawah SST.
  • GST hanya munasabah apabila pendapatan rakyat meningkat sekurang-kurangnya RM4,000 bagi mengelakkan beban kepada golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GST merupakan cukai menyeluruh yang melibatkan rakyat tanpa mengira tahap pendapatan, berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Jadi, sehingga kita dapat menelitinya dengan lebih terperinci, saya tidak fikir kerajaan, khususnya Kerajaan MADANI, akan memperkenalkan perkara tersebut kerana ia akan membebankan sebahagian besar rakyat,” katanya ketika menjawab menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How berhubung keberkesanan GST dalam meningkatkan hasil negara serta cadangan mengembalikannya sebagai instrumen memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaksanaan GST pada 2018 melibatkan kira-kira 700,000 perniagaan, berbanding 130,000 perniagaan bawah SST ketika ini.

Tambah beliau, pelaksanaan GST hanya munasabah apabila pendapatan rakyat meningkat sekurang-kurangnya RM4,000 bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan terbuka menambah baik sistem SST, termasuk mempertimbangkan penyesuaian bagi menanganiisu cukai berganda.

Katanya, kerajaan bersedia meneliti cadangan penambahbaikan sistem percukaian demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

“Jadi, saya katakan, bagi kes-kes tertentu yang mempunyai elemen cukai berganda, kita boleh membuat penyesuaian. Saya tidak bersikap dogmatik dalam soal ekonomi. Sistem yang digunakan masih SST, namun beberapa penambahbaikan boleh dilakukan bagi memastikan sistem itu lebih baik,” katanya.

Pendirian kerajaan itu dibuat berdasarkan pertimbangan ekonomi dan kesan percukaian terhadap rakyat, bukannya faktor politik.

Jelasnya, GST mengenakan cukai secara menyeluruh kepada pengguna, manakala SST lebih tertumpu kepada golongan peniaga.

Katanya, sistem percukaian perlu mengambil kira tahap pendapatan rakyat bagi memastikan golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.