Penghapusan tibi sukar tanpa vaksin khusus

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/Foto RTM

PARLIMEN, 10 Februari – Usaha menghapuskan sepenuhnya penyakit tuberkulosis (tibi) dalam masa terdekat dilihat sukar dicapai, walaupun Malaysia hampir mencapai sasaran penghapusan sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan kes tibi adalah fenomena global dan terus menjadi cabaran besar kepada sistem kesihatan awam.
  • Tiada vaksin khusus untuk orang dewasa; vaksin BCG tidak mencegah tibi dewasa sepenuhnya dan pembangunan vaksin masih dalam kajian klinikal.
  • Rintangan antimikrob meningkat disebabkan penggunaan antibiotik berlebihan, mengancam keberkesanan rawatan tibi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kemunculan semula penyakit berjangkit itu merupakan fenomena global dan menjadi cabaran kesihatan awam.

“Walaupun vaksin Bacillus Calmette–Guerin (BCG) masih diberikan, tiada vaksin khusus untuk orang dewasa bagi mencegah tibi setakat ini, dan pembangunan vaksin masih dalam peringkat kajian klinikal,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, pada sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes rintangan antimikrob, termasuk rintangan terhadap ubat tibi.

Jelasnya, penggunaan antibiotik secara berlebihan dan tidak terkawal dikenal pasti sebagai punca utama masalah tersebut, yang berpotensi menjadi krisis kesihatan apabila jangkitan mudah tidak lagi dapat dirawat dengan berkesan.