MADINAH, 29 April – Rakyat Malaysia yang kini berada di Tanah Suci dinasihatkan agar segera pulang ke tanah air sekiranya tidak memiliki visa Haji yang sah, bagi mengelakkan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Ketua Konsulat Malaysia di Jeddah, Roslan Shariff berkata, individu yang melanggar peraturan permit Haji boleh dikenakan hukuman berat, selaras dengan peraturan baharu yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
“Kegagalan mematuhi peraturan tempatan akan membawa implikasi besar, antaranya denda sehingga 20,000 Riyal, diusir dari negara ini sebelum sempat menunaikan ibadah Haji, serta disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
"Denda dan hukuman yang dikenakan kini jauh lebih berat berbanding sebelum ini,” katanya dalam satu sidang media selepas menyambut ketibaan jemaah Haji Malaysia di sini.
Tambah beliau, pihak berkuasa Arab Saudi telah menetapkan larangan ke atas semua individu tanpa permit Haji sah, termasuk pemegang visa lawatan, daripada memasuki atau berada di Mekah serta kawasan Tanah Suci sepanjang musim Haji.
Sementara itu, kumpulan pertama jemaah haji Malaysia membabitkan 284 orang selamat tiba di sini pagi tadi.
Mereka yang menaiki pesawat MH8050 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdul Aziz kira-kira pukul 8.04 pagi waktu tempatan.
Ketibaan mereka disambut Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Roslan Sharrif di Emaar Royal Hotel yang merupakan salah satu daripada 3 bangunan penginapan di Madinah.
Hadir sama pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdiri daripada Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan, Mohamed Heikal Mohamed Yussuf serta petugas haji musim 1446H/2025H.
Dijangkakan dua lagi penerbangan yang bakal membawa jemaah Malaysia akan tiba di Madinah hari ini.
Sepanjang tempoh enam hari lima malam berada di Madinah sebelum bergerak ke Mekah, jemaah haji akan mengikuti program serta aktiviti seperti ziarah dalam melibatkan Masjid Nabawi dan ziarah Raudah serta ziarah luar ke tempat-tempat bersejarah di sekitar bandar Al Munawwarah.