KUANTAN, 2 Oktober- Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengesahkan pihaknya belum menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini.
Menurut beliau, tiada sebarang percubaan dibuat oleh mana-mana ahli parlimen termasuk pembangkang untuk menghantar notis rasmi berhubung usul berkenaan untuk sidang Parlimen akan datang.
"Saya tidak nampak lagi percubaan untuk menghantar usul undi tidak percaya, sama ada daripada call, emel, ataupun surat-menyurat kerana sudah tentu untuk memungkinkan undi tidak percaya terjadi, usul mesti dihantar kepada saya. Setakat hari ini 2 haribulan, saya tidak dapat apa-apa usul", katanya.
Tambah beliau, tiada tempoh tertentu untuk menghantar notis usul undi tidak percaya berkenaan, namun menjadi kuasa Speaker untuk melihat ia wajar mahupun tidak.
Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (2024) akan berlangsung mulai 14 Oktober sehingga 12 Disember 2024.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 akan bermula Januari depan sebagai projek rintis.
Latihan yang akan mengambil masa 45 hari itu turut menggunakan modul latihan khas yang akan menekankan aspek kenegaraan, selain aspek ketenteraan.
“Pada waktu yang sama 30 peratus daripada ilmu yang kita ajar di kem-kem itu adalah ilmu kenegaraan apa itu demokrasi, sistem Parlimen, raja beperlembagaan, Dewan Rakyat. Jadi semua itu, jadi bila dia keluar umur 18 tahun, dia dah mengundi, malah dia boleh jadi calon juga”, katanya.
PLKN 3.0 akan dilaksanakan secara berfasa bermula Jun atau Julai 2025 dengan melibatkan tiga fasa bermula dengan Fasa Pra-PLKN yang akan diperkenalkan pada peringkat sekolah sebagai persiapan mereka menjalani Latihan Khidmat Negara selepas berusia 17 tahun.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Geenration Accelator Programme (AMG Next-Gen), di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di Kuantan.