PASIR MAS, 1 Disember- Tiada sebarang tanda keadaan banjir di Kelantan akan surut dalam tempoh terdekat.
Setakat pukul 6 pagi, seramai 95,786 orang penduduk terjejas banjir di negeri itu masih mendapatkan perlindungan di 283 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka.
Ia melibatkan 10 jajahan di seluruh negeri dengan Pasir Mas kekal paling ramai terkesan melebihi 29,000 orang.
Ia diikuti Tumpat 16,717 orang dan Kota Bharu 14,155 orang.
Daerah lain turut terkesan ialah Pasir Puteh, Kuala Krai,Tanah Merah, Bachok, Machang, Jeli dan Gua Musang.
Sementara itu, kebanyakan paras air sungai utama di Kelantan telah menunjukkan trend menurun.
Bagaimanapun paras air di beberapa sungai masih melepasi paras bahaya.
Sungai terlibat termasuk Sungai Kelantan di Kusial Baru, Tanah Merah, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Kuala Jambu, Tumpat serta Sungai Semerak di Pasir Puteh.