fb fb fb fb fb

Tiada perakuan penginapan pekerja, majikan kilang ayam dikompaun

Foto Fail

GOPENG, 27 Februari- Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memaklumkan bahawa tiada sijil perakuan penginapan pekerja antara kesalahan yang dikesan pada Operasi Bersepadu Mega Gegar Buruh Paksa dan Pemerdagangan Orang (Ops Gegar) di Perak.

Operasi berkenaan turut dijalankan serentak di seluruh negara.

Menurut Pengarah JTK Perak, Muhammad Fauzi Abdul Ghani, kesalahan gagal membuat perakuan penginapan itu akan disiasat di bawah Seksyen 24D dan Akta 446.

Kesalahan itu melibatkan majikan sebuah kilang memproses ayam di kawasan perindustrian Gopeng.

Selain itu, kilang tersebut turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 24, 24(8), 25, 60K Akta Kerja 1955.

"Hasil daripada semakan yang telah kita lakukan, pihak majikan telah melanggar beberapa peruntukan di bawah undang-undang perburuhan di bawah Akta Kerja. Pertama, pihak majikan telah membuat potongan lebih 50 peratus daripada yang dibenarkan di bawah Seksyen 24(8) Akta Kerja."

"Kesalahan kedua membabitkan bayaran gaji dibayar secara tunai tanpa mendapat kebenaran daripada Ketua Pengarah JTK," kata Muhammad Fauzi selepas menyertai operasi tersebut di tiga kilang berasingan sekitar Gopeng dengan pemeriksaan dibuat ke atas 258 pekerja

Susulan itu, pihak JTK akan membuka kertas siasatan bagi tujuan kompaun dan pendakwaan ke atas majikan berkenaan.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan PERKESO antara agensi yang terlibat dalam operasi tersebut, dengan kekuatan anggota seramai 30 orang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM