fb fb fb fb fb

Tiada niat campuri urusan hal ehwal agama Islam, Ahli Parlimen Beruas mohon maaf

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham

KUALA LUMPUR, 30 Disember- Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini tampil dengan permohonan maaf atas cadangannya agar kerajaan melantik pakar daripada bukan Muslim dalam membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menerusi satu kenyataan, Ngeh mengakui dirinya tiada niat langsung untuk campur tangan dalam hal ehwal agama Islam.

"Saya merujuk kepada kenyataan media saya bertarikh 28 Disember 2023 di mana saya mencadangkan bahawa bukan Muslim dan juga seorang ahli Badan Peguam yang merupakan pakar perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana mengharmonikan undang-undang Shariah dan Perlembagaan Persekutuan.

"Saya menjangkakan proses ini akan melibatkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambil kira sebelum apa-apa cadangan pindaan dibuat.

"Sehingga ia dijelaskan baru-baru ini, saya tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut sebenarnya telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh DYMM Sultan Selangor, oleh itu saya dengan ini menarik balik cadangan saya dan memohon maaf dengan tulus hati,"katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung penuh titah Sultan Selangor yang mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Perdana Menteri turut meminta mereka yang bukan beragama Islam untuk menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), jika mempunyai sebarang kemusykilan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan cadangan Ngeh adalah satu kekhilafan.

Artikel berkaitan: Semua pihak harus hormati, tidak campuri urusan hal ehwal Agama Islam - Sultan Selangor

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE