fb fb fb fb fb

Tiada laporan solat dua imam di Pahang - JAIP

Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz

KUANTAN, 23 Mac- Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sentiasa melakukan pemantauan di setiap masjid dan surau agar tidak berlaku pelaksanaan solat dua imam di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengarahnya, Datuk Dr. Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, setakat ini tiada sebarang kes berkaitan perkara itu berlaku di negeri berkenaan.
 
"Titah Tuanku (Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) supaya perkara ini dicegah daripada berlaku. Proses tauliah juga telah kita sampaikan melalui mereka yang menerima tauliah mengajar dan ceramah.

"Mereka sentiasa diingatkan perkara-perkara yang sensitif dan bercanggah dengan Islam, bercanggah dengan adab dan sebagainya tidak dibenarkan kepada semua penceramah," katanya kepada pemberita di sini.

Tambahnya, imam dan bilal juga mempunyai kuasa untuk mencegah perkara itu daripada berlaku di mana-mana masjid.

Pemimpin setempat seperti Penghulu dan Tok Empat juga disarankan agar melaporkan segera kepada pihak JAIP sekiranya mendapat sebarang maklumat tentang perkara berkenaan.

Rabu lalu, Al-Sultan Abdullah menegaskan tiada masjid di negeri terbabit dibenarkan melaksanakan solat dua imam.

Sementara itu, orang ramai yang ditemui pemberita RTM rata-rata bersetuju dengan titah baginda tersebut.

"Kita kena kembali kepada al-Quran dan sunah. Walaupun kita berlainan fahaman politik (tetapi) daripada segi Islam kita kena bersatu. Walau apapun fahaman kita, (tetapi) daripada segi akidah kita tak boleh berpecah. Itu ajaran Islam," ujar Safura Sharif, guru.

"Kita dah tahu dari dulu (yang) makna dalam masjid itu ada Imam 1 dan Imam 2. Jadi tak perlulah nak ada lagi imam-imam yang lain," ujar Nik Rualam Mamat, pengawal keselamatan.
 
"Pahang ok...cuma yang penting bersatu hatilah Insya-Allah," Khairul Azman Mastor, pekerja sendiri.

SITI AISHAH MD ISA