
KUANTAN. 28 Februari – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang menghina Islam.
- Tindakan tegas mesti diambil terhadap penghinaan Islam selaras undang-undang dan keadilan.
- Penguatkuasaan perlu berasaskan fakta, bukti dan bukan emosi atau tekanan pihak tertentu.
- Pemimpin dan kerajaan wajib menunjukkan kepimpinan berintegriti untuk pertahankan kesucian agama.
Namun, jelas baginda, pelaksanaannya mestilah berlandaskan prinsip keadilan serta berdasarkan peruntukan undang-undang negara.
Baginda menegaskan bahawa sebarang perbuatan menghina Islam, mencabar kesuciannya atau menyemai kebencian terhadap agama Allah tidak boleh dipandang ringan dan hendaklah dikenakan tindakan setimpal.
“Sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama perlu ditangani secara tegas serta berlandaskan prinsip keadilan,” titah Baginda dalam satu kenyataan di Facebook.
Baginda turut menegaskan bahawa Islam sebagai agama Persekutuan mempunyai kedudukan yang istimewa dan wajib dihormati oleh semua pihak.
Dalam pada itu, baginda mengingatkan pihak berkuasa supaya bertindak tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati bersalah, namun setiap tindakan hendaklah dilaksanakan secara adil, saksama dan berhemah.
“Penguatkuasaan undang-undang tidak seharusnya didorong oleh emosi atau tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mestilah berasaskan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang jelas,” titah Baginda lagi.
Baginda turut mengingatkan bahawa isu berkaitan agama perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan agar tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Sultan Pahang juga menegaskan peranan kerajaan dan para pemimpin di semua peringkat amat penting dalam menunjukkan contoh kepimpinan yang matang, berintegriti dan berprinsip dalam mempertahankan kesucian agama serta memastikan setiap tindakan mematuhi undang-undang dan menjunjung tinggi prinsip keadilan.