Tiada kes ‘peram’ siasatan SPRM – PPO

FOTO RTM

GENTING HIGHLANDS, 13 Februari – Panel Penilaian Operasi (PPO), menyatakan kepuasan terhadap kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya dalam menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh ditetapkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPO puas hati dengan kecekapan SPRM menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh ditetapkan.
  • PPO semak semula kes NFA untuk kenal pasti kelemahan siasatan dan memberi nasihat pembaikan.
  • PPO syorkan perkukuhan kepakaran penyiasat, terutamanya untuk kes kewangan dan korporat kompleks.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham berkata majoriti kes berjaya diselesaikan dalam sasaran masa, termasuk garis panduan agar siasatan tidak melebihi 12 bulan.

“Setakat ini tak ada isu. Bukanlah mereka sengaja melewat-lewatkan tindakan, melewatkan siasatan atau memeram kes.

“Kami tak jumpa apa-apa. Setakat ini, ya, kami semua berpuas hati sebab kami lihat mereka telah melaksanakan apa yang mereka patut laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Bengkel Kewartawanan anjuran SPRM di sini.

Dalam masa sama, PPO turut menilai semula kes-kes Tiada Tindakan Lanjut (NFA), dengan fokus mengenal pasti kelemahan siasatan serta mencadangkan penambahbaikan.

“Memang salah satu tugas dan fungsi adalah untuk menilai, membuat penilaian ke atas kes-kes yang NFA, yang tidak berakhir dengan pendakwaan. Tapi penilaian itu daripada beberapa segilah.

“Yang pertamanya sama ada ada apa-apa kelemahan dalam siasatan itu sendiri yang perlu diperbaiki. Jadi kalau ada kelemahan dalam siasatan itu, kita akan bagi nasihat,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, SPRM menunjukkan sikap terbuka dan tidak defensif, termasuk menerima teguran sehingga ada kes NFA yang akhirnya diambil tindakan.

Antara syor utama PPO ialah memperkukuh kepakaran pegawai penyiasat, khususnya dalam kes kewangan dan korporat kompleks, termasuk penjejakan aliran wang.

PPO berperanan sebagai badan pemantau bebas, memastikan setiap siasatan dilaksanakan mengikut undang-undang dan kuasa yang diperuntukkan.