IPOH, 10 Januari- Tiada keperluan untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 menduduki semula kertas peperiksaan Sejarah, susulan dakwaan isu kebocoran soalan.
Tegas Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, dakwaan tersebut dinafikan dan adalah tidak benar.
Beliau turut memberi jaminan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan peperiksaan sentiasa dipatuhi sepanjang peperiksaan berlangsung.
"Saya nak ingatkan kepada semua pihak bahawa semua tingkah laku yang tidak betul ini akan dipantau.
Sekiranya, bukti adalah sah, tindakan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa," kata Wong kepada pemberita, hari ini.
Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa dan calon agar tidak bimbang dan kekal fokus ketika peperiksaan yang akan berakhir Februari depan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Tahun Baharu Cina di SMJK Sam Tet, di sini.
KPM dalam satu kenyataan pada Khamis menegaskan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan SPM 2024 itu tidak benar dan tidak berasas.
Tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.
Tiada soalan kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 yang dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan.