
PUTRAJAYA, 5 Februari – Tiada keperluan untuk membahaskan sebarang syor berkaitan cadangan berkaitan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pelantikan Datuk Bandar di Parlimen ketika ini kerana kerajaan belum menerima kajian yang sedang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
- Kerajaan belum terima atau bincang kajian UIAM mengenai pilihan raya PBT dan pelantikan Datuk Bandar.
- Isu itu masih pramatang; tiada bahan untuk dibentangkan di kabinet atau Parlimen sekarang.
- Kerajaan terbuka kepada cadangan; pembangkang boleh bangkitkan melalui saluran rasmi Parlimen.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan masih berada di peringkat kajian dan belum dibincangkan oleh Jemaah Menteri.
“Memang tidak ada apa-apa untuk dibentangkan pada waktu ini kerana apa yang Yang Berhormat Hannah Yeoh sebut adalah satu kajian yang disediakan oleh pihak UIAM dan kajian itu pun belum dibawa ke kabinet. Jadi belum ada apa-apa, ia pramatang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Zchwantech Group dan Magna AI, di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Fahmi mengulas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa kerajaan supaya membentangkan dan membahaskan syor pilihan raya terbabit di parlimen.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan terbuka menerima sebarang cadangan dan tidak menghalang pembangkang daripada membangkitkan perkara itu melalui saluran rasmi parlimen.
“Tapi kita terima baik apa-apa cadangan sekiranya beliau berhasrat untuk bangkitkan, saya percaya boleh bangkitkan dalam sesi Waktu PertanyaanMenteri (MQT) minggu depan.
“Cuma waktu ini kabinet tidak ada sebarang perbincangan mengenai cadangan terbabit, belum dibentangkan hasil kajian UIA, jadi tidak ada apa-apa untuk kita bentangkan pada waktu ini,” katanya lagi.