fb fb fb fb fb

Tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung, harga barang tidak naik - Pakar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Jun- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada pengguna di Semenanjung mulai 1 Julai sehingga 31 Disember 2024.

Penganalisis Ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat ia tidak akan menyebabkan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Ia dapat memberi impak positif kepada pengguna kekal dan industri dengan kadar penurunan surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) sebanyak 1 sen/kilowatt jam (kWj).

"Kerajaan turut memberi pelbagai bantuan seperti rebat RM40 untuk pengguna sistem eKasih dan juga akan dapat dibuat Program Save 4.0 untuk menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga.

"..Dan turut juga penggalakan kepada pengguna untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar untuk voltac kediaman masing-masing yang boleh menerima rebat RM1,000/kWj hingga maksimum RM4,000.

"Selain daripada mengawal kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, pada masa sama pengguna dapat penjimatan daripada segi penggunaan tenaga melalui pemasangan panel solar melalui Program Save 4.0 dan juga program rebat elektrik RM40 itu," katanya kepada pemberita di sini.

Rata-rata masyarakat terutamanya golongan sederhana dan B40 di sekitar Kuala Lumpur menarik nafas lega dan berterima kasih kepada kerajaan atas usaha tersebut.

"Alhamdulillah, kami bersyukur sangat sebagai rakyat Malaysia, dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana tiada kenaikan tarif elektrik untuk tahun ini, jadi kita harap boleh diteruskan untuk tahun-tahun selepas ini," kata pengguna, Norazura Ibrahim.

"Pendapat kami yang jenis orang cakap pendapatan sederhana inikan, terbaiklah bagi kami..mengurangkan kos, mengurangkan segala tarif elektrik ini sebab elektrik ini kita sentiasa guna, syabaslah tak naik tarif elektrik ini," kata pengguna, Wan Teh Yaacob.

"Kalau boleh kekallah, jangan ada kenaikan bil elektrik, kadang-kadang kita tengok, bil elektrik kita guna harian, kalau naik itu jadi bagi beban bagi keluarga yang berpendapatan rendah," kata pengguna, Siti Fatimah Wook.

"Kitapun memang menggunakan elektrik sepenuh masa sekarang inikan..jadi, memang tak boleh takdelah. Jadi ia memang satu keperluan," kata pengguna, Jasmi Mohamad.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM