fb fb fb fb fb

Tiada kenaikan harga ayam di Pulau Pinang

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S.Jegan bercakap dalam sidang media selepas mengadakan Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah pasaraya di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM, 6 Februari- Ayam mentah di Pulau Pinang masih dijual pada harga berpatutan dan tiada sebarang kenaikan sehingga kini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S.Jegan berkata, hasil pemantauan mendapati harga masih kekal stabil meskipun pengapungan harga dilaksanakan sejak November lalu.

“Harga ayam tidak sama antara pasaraya dengan pasar, kalau di pasaraya harga bawah RM9 berbeza-beza ada yang RM8.80, RM8.50 dan di sini RM8.28, cuma digerai, kedai runcit serta pasar harga lingkungan RM9.50.

“Setakat ini tiada masalah kerana pihak kami tidak menerima sebarang aduan mengenai kenaikan harga barangan itu termasuk sayur-sayuran mahupun barang mentah lain,”katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan Walkabout Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2024 di sebuah pasaraya di Bukit Mertajam.

Seramai 174 pegawai penguatkuasa dan 62 pegawai pemantau harga seluruh KPDN negeri ditugaskan di lokasi strategik sepanjang sembilan hari pelaksanaan SHMMP.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE