ALOR SETAR, 7 Ogos- Parlimen tidak berhasrat untuk menyekat siaran langsung Sidang Parlimen di Dewan Rakyat walaupun berlaku beberapa insiden dan kekecohan melibatkan beberapa ahli parlimen di dalam dewan.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata penyiaran secara langsung itu bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat melihat sendiri tingkah laku wakil rakyat yang dipilih mereka. Malah ia memberi ruang kepada rakyat untuk menilai prestasi wakil rakyat masing-masing ketika berhujah mengenai sesuatu perkara atau isu di Parlimen.
“Apa yang berlaku dalam dewan dan apa yang ditayangkan kepada rakyat untuk dinilai sebenarnya bahawa kita harus berani mengatakan hitam itu hitam, putih itu putih dan saya kira itulah tindakan dan cara wakil rakyat anda di bawah sana berbicara.
"Itulah kualiti yang anda pilih. Jadi saya tidak akan menyekat, malah menggalakkan supaya mereka ini didedahkan kepada semua jenis maklumat supaya karakter sebenarnya seorang pemimpin itu akan terserlah apabila kita depankan dia seperti inilah, media ini", katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu di konti KEDAHfm.
Hadir sama, Pengarah Penyiaran Negeri Kedah, Nur Hafizoh Idris.
Jelas Tan Sri Johari, usaha untuk merakyatkan Dewan Rakyat akan terus dipergiat dan dipertingkat dari semasa ke semasa.
Ia termasuk program turun ke padang mendekati rakyat di segenap lapisan bagi menerangkan fungsi Parlimen.
Selain itu, orang ramai terutama golongan belia juga dipelawa untuk mengikuti perbahasan di Parlimen bagi melihat dan merasai suasana sebenar di dalam dewan.
Langkah itu bertujuan untuk melahirkan generasi pemimpin berkaliber dan lebih profesional.