fb fb fb fb fb

Tiada cuti umum pada 31 Januari

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 24 Januari- Kerajaan tidak memberikan cuti umum khas sempena pemasyhuran Yang di-Pertuan Agong yang baharu pada 31 Januari ini.

Malah menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, perkara itu tidak bincangkan oleh Jemaah Menteri.

"Perkara ini tidak dibincangkan dalam Jemaah Menteri minggu lalu. Malangnya tidak ada pengumuman sedemikian pada hari ini terutamanya, tetapi tidak ada, kecuali perdana menteri memikirkan ada kewajaran, tetapi tidak dibincangkan. Malah Jemaah Menteri mesyuarat yang berikutnya adalah selepas Majlis Pemasyhuran Pelantikan Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang berikutnya", katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas penyebaran di media sosial yang menyatakan 31 Januari ini diisytiharkan cuti umum sempena pemasyhuran pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu. 

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa dakwaan kerajaan akan menarik balik subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini adalah tidak benar.

Beliau mengulas mengenai sebaran satu maklumat grafik mengenai cukai baharu yang bakal diperkenalkan kerajaan termasuk penarikan balik subsidi petrol RON95.

"Perkara ini belum lagi dibincang atau tidak lagi ada apa-apa perbincangan di Jemaah Menteri dan ini tidak benar. Jadi kepada orang awam, saya nasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menerima sebarang maklumat termasuklah grafik seperti yang kita tunjukkan di sini.

"Sekiranya ada sebarang keraguan terhadap maklumat seperti ini boleh rujuk kepada Kementerian Kewangan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN