fb fb fb fb fb

Tiada bukti kukuh buli akibatkan kematian PPS

(FOTO HIASAN)

PUTRAJAYA, 17 Ogos - Tiada bukti kukuh bagi mengaitkan insiden kematian seorang Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang dengan unsur buli di tempat kerja.

Perkara tersebut disahkan Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF).

Ia berdasarkan dapatan analisis terhadap Laporan Pengesanan dan Pengesahan oleh Unit Integriti Kementerian Kesihatan.

Pengerusinya, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata pasukan itu mengekalkan pandangan tersebut selagi tiada maklumat tambahan berkaitan insiden kematian berkenaan daripada polis.

(Pengerusi HWCITF, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir)

"Melalui sesi pertemuan dengan hospital Pulau Pinang dan ketika ini kami masih belum mendapat laporan terkini dari PDRM jadi ia masih dalam siasatan.

"Apa yang kami dapati yang pertama adalah laporan yang telah dikeluarkan oleh unit intergriti yang mana mereka telah bekerjasama tidak silap saya antara anggota unit intergiti ada juga mereka di kalangan SPRM jadi siasatan telah dibuat mengikut SOP yang ditetapkan," katanya dalam taklimat khas bersama media, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP maut, selepas dikatakan terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat, George Town 17 April lalu. Mangsa dilaporkan baru ditempatkan di HPP pada 4 April lalu.

HWCITF ditubuhkan pada 13 Mei lepas susulan insiden kematian Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) tersebut.

Juga, susulan aduan diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.

Tambah Datuk Dr Siti Hamisah, berdasarkan kaji selidik, 60 peratus daripada 110,411 responden terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan menyatakan, budaya kerja di kementerian berkenaan adalah positif.

Ini terutamanya berkaitan, penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.

"Insiden 'burnout' (lesu upaya) dan buli serta budaya kerja kurang sihat dapat disahkan berlaku di KKM, namun pada tahap yang berbeza dan bukanlah di semua fasiliti kesihatan KKM.

"Didapati budaya buli tidak hanya berlaku dalam kalangan Pegawai Perubatan Siswazah, malah berlaku merentasi semua peringkat warga kerja KKM secara langsung atau tidak langsung.

"Antara faktor penyumbang ialah kekurangan kecekapan, kemahiran dan tahap kesediaan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan," katanya.

Media Baharu