fb fb fb fb fb

Tiada bayaran tambahan untuk dapat akses 5G 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 9 Januari - Tiada bayaran tambahan akan dikenakan syarikat telekomunikasi kepada pengguna bagi mendapatkan akses rangkaian 5G, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

"Ini telah dipersetujui dan dimaklumkan kepada saya dan semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat telco. Pengguna mempunyai pelbagai pilihan penawaran pelan dan perkhidmatan tambahan berdasarkan kesesuaian penggunaan individu. Bagaimanapun pengguna perlu memastikan peranti yang diguna menyokong 5G," Fahmi bercakap kapada media dalam sidang media mengenai Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular (Panggilan Suara) di sini.

Mengenai status Digital Nasional Bhd (DNB) dan capaian rangkaian 5G dalam negara, Fahmi memaklumkan ia akan diumumkan esok.

Setakat 7 November lalu, capaian rangkaian 5G telah mencecah 73 peratus.

Dalam pada itu Fahmi berkata, tiada panggilan terputus direkodkan hasil Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular.

Ini menerusi penelitian kualiti panggilan telefon bimbit oleh Fahmi bersama-sama pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) menggunakan peralatan khas pengujian 'Nemo Walker Air'.

Tambahnya, kerajaan sentiasa memandang serius mengenai isu tersebut dan harus ditangani segera.

"Berdasarkan aktiviti 'drive test' pada hari ini, dan laporan analisis yang disediakan tiada panggilan terputus direkodkan sepanjang perjalanan dari parlimen ke Putrajaya. Saya ingin menekankan di sini bahawa ujian yang dibuat ialah Ujian Kualiti Perkhidmatan Selular dan bukannya panggilan menggunakan Internet.

"Kepada semua pengendali rangkaian mudah alih, saya harap agar perhatian serius dan pantas dapat diambil dalam menyelesaikan masalah ini. Rakyat berhak mendapatkan perkhidmatan berkualiti yang setimpal nilainya dengan langganan perkhidmatan," katanya.

Sebelum itu, beliau bersama-sama timbalannya Teo Nie Ching dan pengamal media dibawa menaiki bas dari Bangunan Parlimen ke Kementerian Komunikasi di Putrajaya dan diberi taklimat berhubung ujian berkenaan.

Turut serta ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamed Fauzi Md Isa, Pengerusi MCMC Mohamad Salim Fateh Din dan pengurusan kanan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan mudah alih antaranya CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Tambahnya, bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 13 Disember lalu, sebanyak 1,837 panggilan terputus telah direkodkan, termasuklah melibatkan kes-kes yang berlaku di luar kawasan liputan.

TETITIA YUSOFF