fb fb fb fb fb

Tiada arahan wajib suntik dos penggalak bagi peniaga bazar Ramadan


KUALA LUMPUR, 5 Mac- Kementerian Kesihatan tidak mengarahkan sebarang ketetapan wajib untuk pihak berkuasa tempatan (PBT), supaya mewajibkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 terhadap peniaga tempatan bagi pembukaan bazar Ramadan, bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya tidak mengeluarkan arahan itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau penganjur bazar berkenaan.

"Ini bukan (bidang kuasa) KKM, kami beri nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar memerlukan booster, itu keputusan yang mesti ditanya pada PBT,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan sebuah PBT meletakkan syarat sebagai keperluan bagi peniaga pasar malam.

"Jika pasar malam, ia adalah (bawah bidang kuasa) PBT, dan di masjid pula Jabatan Agama Islam Negeri," katanya.

Katanya, KKM juga tidak memberi sebarang cadangan atau syarat bahawa penerima dos penggalak sahaja dibenarkan ke pasar malam dan bazar.

(KKM hanya menasihati pihak berkuasa tempatan (PBT) dan segala keputusan melaksanakan sebarang SOP di bawah bidang kuasa PBT/Gambar fail)


Sebaliknya, beliau berkata KKM hanya menasihati pihak berkuasa tempatan (PBT) dan segala keputusan melaksanakan sebarang SOP di bawah bidang kuasa PBT.

"Kita memberikan nasihat tetapi nasihat kita bukanlah sampai nak pergi pasar, kena 'booster'," katanya.

Beliau bercakap demikian pada majlis pelancaran Persidangan Tahunan Dialisis, di sini, pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Datuk Dr Zaki Morad.

Isu suntikan dos penggalak diwajibkan terhadap peniaga bazar Ramadan, tular selepas seorang pengguna media sosial memuat naik surat arahan sebuah PBT yang meletakkan syarat tiga suntikan vaksin COVID-19, termasuk dos penggalak, ke atas peniaga dan pembantu gerai berkenaan.

Wanita itu turut dikata menyalahkan Khairy kerana menyangka beliau mengeluarkan arahan sedemikian.

Media Baharu