fb fb fb fb fb

Thaipusam : MBPP tarik balik larangan jual alkohol

Tangkap layar kenyataan media MBPP

GEORGE TOWN, 24 Januari- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menarik balik larangan penjualan minuman beralkohol selama tiga hari sempena perayaan Thaipusam terhadap 51 daripada 56 premis yang diberikan notis sebelum ini.

Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP dalam kenyataan memaklumkan penarikan balik notis itu dibuat selepas penelitian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri H'ng Mooi Lye bersama MBPP, mendapati tidak timbul keperluan untuk membuat larangan meliputi keseluruhan laluan perarakan.

"Setelah diteliti H'ng Mooi Lye dan MBPP mendapati tidak timbul keperluan larangan ini meliputi keseluruhan laluan perarakan Thaipusam dan adalah mencukupi dengan hanya mengadakan larangan ini di Jalan Gottlieb dan Jalan Utama sahaja.

"Oleh yang demikian, H'ng Mooi Lye telah mengarahkan MBPP agar 51 daripada 56 Notis Pemberitahuan tersebut ditarik balik dengan serta-merta," katanya dalam kenyataan.

Hanya lima notis pemberitahuan untuk premis-premis menjual minuman beralkohol di Jalan Gottlieb dan Jalan Utama dikekalkan.

Bagaimnaapun pada masa akan datang sebarang keputusan berkenaan larangan penjualan minuman alkohol perlu melalui perbincangan serta persetujuan daripada Kerajaan Negeri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI