fb fb fb fb fb

TH & Malaysia Airlines jalin kerjasama lima tahun untuk penerbangan haji

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Februari – Lembaga Tabung Haji (TH) menandatangani perjanjian penerbangan Haji selama lima tahun bersama Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi menyediakan perkhidmatan penerbangan carter haji bermula musim haji 1446H hingga 1450H (2025-2029).

Perkhidmatan itu akan dikendalikan oleh penyedia penerbangan umrah dan haji, Amal by Malaysia Airlines.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman kerjasama berterusan itu merupakan hasil prestasi cemerlang Amal by Malaysia Airlines dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji negara.

“Kecekapan dan komitmen tinggi yang ditunjukkan dalam memastikan perjalanan haji berjalan lancar serta perhatian teliti terhadap keselesaan dan kesejahteraan jemaah haji menjadi faktor utama pemilihan Amal by Malaysia Airlines sebagai penyedia penerbangan sewa khas haji,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Jabatan Haji TH, Mohd Hisham Harun, bersama Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor, dan disaksikan oleh Syed Hamadah Syed Othman.

Sebanyak 50 peratus daripada 31,600 jemaah akan diterbangkan secara berperingkat oleh Amal by Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah serta Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz, Madinah.

Penerbangan pertama ke Tanah Suci dijadualkan bermula dari 29 April hingga 20 Mei 2025, manakala penerbangan pulang akan berlangsung dari 14 Jun hingga 1 Julai 2025.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN