fb fb fb fb fb

Tertuduh kes ugut, kurung lelaki tukar pengakuan di Mahkamah

Lapan individu termasuk seorang wanita menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU, 3 Jun - Lapan individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai Bella menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

Mereka sebelum ini mengaku bersalah atas empat pertuduhan melibatkan jenayah ugutan bunuh, pemerasan, mencederakan dan mengurung seorang lelaki.

Antara tertuduh ialah Muhammad Aqmal Hafifi, Muhammad Nur Shafiq, Ahmad Rushdi, Mohamad Amierul Hakim, Bella, Mohamad Danish, Syamsul Hamiziey dan Muhammad Haikal, berusia antara 19 hingga 25 tahun.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama dua lagi yang masih bebas didakwa melakukan pemerasan, mengugut mangsa, Muhammad Faris Syahmi supaya membayar RM3,000.

Mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan RM650 melalui e-wallet serta kunci motosikal kepada tertuduh.

Mereka juga didakwa mencederakan dan mengurung mangsa di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai antara pukul 10.00 malam hingga 4.00 pagi pada 18 hingga 19 April lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384, 506, 342 dan 323 Kanun Keseksaan, serta dibaca bersama Seksyen 34 kerana dilakukan secara bersama-sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nik Nor Atini Nik Azman, manakala empat tertuduh diwakili peguam masing-masing.

Mahkamah menetapkan 18 Julai depan, sebagai tarikh sebutan semula kes dan mengekalkan jaminan terdahulu.

TETITIA YUSOFF