(Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi,
Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Nairobi, Kenya pada pukul 8.34 malam waktu tempatan)
NAIROBI, 4 Julai- Misi meneroka potensi pengembangan eksport minyak sawit di pasaran Afrika Timur diteruskan, dengan kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke Nairobi, Kenya bermula 3 hingga 7 Julai.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, akan menyampaikan ucaptama dan merasmikan Malaysian Palm Oil Forum-East Africa Region 2023.
Malaysian Palm Oil Forum-East Africa Region 2023 merupakan platform mempamerkan kepakaran Malaysia dalam industri minyak sawit dan meneroka peluang kerjasama dengan negara-negara Afrika Timur.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad berkata, ia memfokuskan komitmen Malaysia dalam mempromosi pengeluaran minyak sawit mampan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan Kenya selain negara Afrika lain.
(Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya Ruzaimi Mohamad)
"Selain pemain-pemain industri minyak sawit yang penting di Kenya, forum tersebut juga dijangka disertai oleh pemain-pemain industri dari negara-negara Afrika yang lain antaranya Ghana, Nigeria, Rwanda, Tanzania, Uganda, Zambia dan Zimbabwe.
"Saya berharap penganjuran forum ini akan meyakinkan pihak-pihak yang masih belum tahu atau masih ragu dengan kebaikan serta potensi besar industri minyak sawit", katanya.
"Kita ingin melihat nilai eksport yang lebih tinggi ke Kenya serta negara-negara Afrika Timur selepas forum ini diadakan," katanya.
Mengetuai delegasi Malaysia, Datuk Seri Fadillah dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian Kenya dan pemain industri sawit tempatan, selain kunjungan ke kilang pemprosesan minyak sawit dan syarikat pengeluaran makanan utama di Kenya.
"Kenya menjadikan Malaysia sebagai negara sumber utama dan terbesar dalam pembelian produk sawit bagi kawasan sub-Sahara Afrika, tambahnya.
Pada tahun 2022 Kenya telah mengimport lebih 760,000 tan metrik produk sawit Malaysia dengan nilai RM4.2 bilion, mengatasi Indonesia dan Thailand.
Kepercayaan yang diberi ini dilihat dapat membuka peluang penerokaan potensi yang lebih luas bagi industri minyak sawit negara.
Laporan oleh Tun Julia Mohd Tahir.