fb fb fb fb fb

Terminal Maritim Lumut 2 dijangka beroperasi pada 2026

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad

LUMUT, 4 Mac - Sebanyak RM282 juta diperuntukkan bagi pembinaan projek Terminal Maritim Lumut 2 (LMT 2) yang dijangka beroperasi awal 2026.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata LMT 2 akan menjadi pemangkin dalam memperluaskan potensi Lumut sebagai Pengendali Terminal Kargo Pukal yang paling efisien di Asia Tenggara.

Beliau berkata, pembinaan LMT 2 penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan memenuhi keperluan pengangkutan maritim di daerah Manjung dan Perak secara keseluruhannya.

"LMT 2 dirancang untuk menampung pertumbuhan industri maritim dan permintaan logistik antarabangsa dengan meningkatkan kapasiti pelabuhan dan kecekapan operasi, matlamat kita adalah untuk menjadikan Pelabuhan Lumut sebagai pengendali terminal kargo paling cekap di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pecah tanah Terminal Maritim Lumut 2 (LMT 2), di sini.

Tambah Saarani, pembangunan LMT 2 juga dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi dan kapasiti dalam pengendalian mineral pukal bagi memenuhi permintaan global yang tinggi.

Katanya, ia turut merangsang pertumbuhan industri hiliran berasaskan mineral, yang menjadi aspek penting dalam pelan ekonomi jangka panjang negeri Perak.

Terletak di Batu Undan, Segari, projek pembinaan LMT 2 dibiayai sepenuhnya oleh Pelabuhan Lumut menerusi Perancangan Perniagaan Strategik (BSP) 10 tahun bermula pada tahun 2016 hingga 2026.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN