GUA MUSANG, 11 Ogos - Ibu kepada dua penumpang kereta yang maut dalam nahas kemalangan di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 di Gua Musang, Kelantan pengsan sebanyak empat kali apabila menerima perkhabaran duka itu sepanjang hari ini.
Adik mangsa, Muhammad Fakris Nor Amran, 23 tahun, berkata ibunya, Shahima Hamid, 54, sangat sedih kerana kehilangan anak keduanya, Muhammad Faiz Nor Amran, 32, dan anak kelimanya yang juga anak perempuan tunggal, Nor Aina Imra Nor Amran, 21.
Menurutnya, ibunya juga turut kehilangan dua orang cucunya yang maut dalam kemalangan tragis tersebut.
Katanya, Nor Aina sangat rapat dengan ibunya kerana dia adalah anak perempuan tunggal dalam keluarga.
"Keadaan mak saya merisaukan kerana sebelum saya pulang dari kerja tadi, adik-adik memberitahu mak pengsan. Sampai di rumah pun mak masih pengsan. Mak dengan abang nombor dua memang rapat.
"Adik perempuan pula adalah satu-satunya anak perempuan daripada tujuh beradik. Mak selalu membuat biskut bersama adik perempuan, dan setiap hari Jumaat adik akan membantu mak menjualnya.
"Cuma kali ini kelihatan pelik, sebelum ini, bila dia (adik) pergi membeli, dia kelihatan malu, tetapi hari itu dia langsung tidak malu. Memang agak pelik," katanya di sini.
Muhammad Fakris memberitahu, beliau juga tidak menyangka status WhatsApp terakhir abangnya yang gembira apabila keluarganya pergi ke himpunan kereta termakbul adalah petanda ajal mereka.
Katanya, abangnya bersama isteri, dua anak dan Nor Aina telah bertolak ke Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori ketika dalam perjalanan pulang ke Pasir Mas hari ini selepas menghadiri himpunan kereta di Sepang, Selangor, pada Sabtu.
Sementara itu, nahas yang mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 33, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Felda Chiku 1 hari ini dipercayai berpunca daripada kereta dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum bertembung sebuah treler.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu isteri mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala Kuala Krai.
Katanya, ketika sampai di lokasi kejadian, kereta tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.