fb fb fb fb fb

Terengganu sedia buka pintu kepada pelabur dalam industri akuakultur

SETIU, 17 Ogos - Kerajaan negeri Terengganu bersedia untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan mana-mana pihak demi memajukan industri akuakultur di negeri itu.

Malah turut bersedia untuk membuka ruang kepada mana-mana syarikat swasta dengan pelaburan berskala besar mahupun sederhana.

Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata bentuk muka bumi Terengganu sememangnya memberi kelebihan kerana mempunyai kawasan yang sesuai bagi menjalankan industri tersebut.

(Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar
Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim)

"Kerana sememangnya dari segi geografi negeri Terengganu ini kita mempunyai banyak kawasan-kawasan yang semulajadinya sesuai untuk industri akuakultur terutamanya akuakultur air payau atau air masin seperti yang ada di daerah Setiu.

"Tambahan pula daerah Setiu kita telah mengisytiharkan sebagai gedung pengeluaran makanan negeri Terengganu dengan 18 projek sedang berjalan bernilai lebih RM700 juta," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu i-Sharp yang diusahakan syarikat Blue Archipelago Berhad, anak syarikat di bawah Khazanah Nasional Berhad, di sini.

Ladang Akuakultur Ternakan Udang Bersepadu i-Sharp, di Kampung Nyatoh, Setiu merupakan kawasan terbesar penternakan udang di Terengganu yang mempunyai lebih 200 buah kolam air masin yang menempatkan spesis udang putih dan udang harimau.

Menerusi data dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri, pengeluaran udang putih di Terengganu pada tahun 2021 mencatatkan jumlah sebanyak 2,077 tan metrik dengan nilaian RM48 juta melibatkan tiga pengusaha.

Media Baharu