Tengku Muhammad Fauzi terima tugas Panglima Angkatan Bersama ATM

Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim (kanan) mengambil alih tampuk Pemerintahan Angkatan Bersama menggantikan Datuk Zahani Zainal Abidin/ Facebook MyJointForce

KUALA LUMPUR, 6 Februari- Majlis serah terima tugas Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB) diadakan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tengku Muhammad Fauzi mengambil alih jawatan Panglima Angkatan Bersama menggantikan Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin.
  • Pelantikan dibuat berdasarkan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
  • PAB bertanggungjawab menyelaras operasi dan latihan domestik serta antarabangsa ketiga-tiga perkhidmatan ATM.
  • Tengku Muhammad Fauzi mempunyai pengalaman luas termasuk misi pengaman NATO dan latihan ketenteraan antarabangsa.

Menurut Markas Angkatan Bersama, Tengku Muhammad Fauzi yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Panglima Tentera Darat mengambil alih jawatan itu daripada Leftenan Jeneral Datuk Zahani Zainal Abidin yang kini dilantik sebagai Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), berkuat kuasa pada 1 Januari lepas.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dan dihadiri oleh panglima-panglima perkhidmatan serta pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri Ke-632 yang bersidang pada 7 Januari lepas, dan seterusnya telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 18 Januari lepas,” menurut Markas Angkatan Bersama dalam kenyataan.

PAB berperanan menyelaras operasi dan eksais pada peringkat domestik dan antarabangsa bagi ketiga-tiga perkhidmatan dalam ATM.

Tengku Muhammad Fauzi yang dilahirkan pada 30 Januari 1970 di Kuala Terengganu, memulakan kerjaya ketenteraan dengan menyertai Maktab Tentera Diraja pada 1988 dan meneruskan latihan sebagai Pegawai Kadet di Officer Cadet School, Singapore Armed Forces Training Institute.

Setelah tamat latihan, beliau ditauliahkan sebagai Pegawai dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 6 Jun 1990.

Sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD, Panglima 10 Briged (Para), Panglima 3 Divisyen, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Darat dan Panglima Medan Barat Tentera Darat.

“Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam misi pengaman antarabangsa, termasuk penugasan di Bosnia dan Herzegovina di bawah NATO dan penglibatan aktif dalam pelbagai latihan bersama angkatan tentera luar negara. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih di Royal Military College (RMC) Duntroon, Australia.

“Dari sudut pembangunan profesional dan akademik, beliau telah mengikuti berbagai kursus ketenteraan di United States Army Command and General Staff College di Fort Leavenworth, Indonesian National Army Staff and Command School serta Royal College of Defence Studies di United Kingdom, selain merupakan alumni Harvard Business School,” menurut kenyataan itu.