KUCHING, 15 Januari- Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi lawatan lima hari ke Sarawak.
Keberangkatan tiba Tengku Hassanal pada 2.47 petang tadi disambut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Sepanjang lawatan kerja di Kuching, baginda dijadualkan berangkat melawat ke beberapa lokasi termasuk Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Menara Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pusat Hidupan Liar Semenggoh.
Tengku Hassanal juga dijangka berkenan melawat Muzium Kebudayaan Borneo di sini esok sebelum berangkat ke Majlis Santapan Malam di sebuah hotel terkemuka di sini yang akan turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir menyambut ketibaan Tengku Hassanal ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datuk Buckland Bangik serta beberapa tetamu kenamaan lain.