fb fb fb fb fb

Tengku Ampuan Pahang berkenan rasmi Sense Of Malaysia cawangan KIA

Foto JAPEN

KUCHING, 7 Disember - Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli bagi merasmikan Sense of Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), hari ini.

Ketibaan Tunku Azizah dan puteri bongsu Baginda, Tengku Puteri Jihan kira-kira pukul 10 pagi disambut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Baginda melakukan simbolik memotong reben dan menandatangani plak perasmian, disusuli sesi 'walkabout' atau tinjauan mesra dan taklimat oleh Pengurus Besar CENTEXS Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri.

Selain itu, Baginda turut mencuri perhatian apabila berkenan melakukan demonstrasi pembuatan Kek Lapis Sarawak, serta menyaksikan demonstrasi Tenunan Songket, Pua Kumbu dan Sulaman Keringkam.

Sense of Malaysia merupakan rangkaian gedung cenderamata berkonsepkan seni, budaya dan produk tempatan, diusahakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Sementara itu, menurut Mohamad Shahren, CENTEXS Commercial kini berperanan sebagai pengendali dan penyelaras untuk mengumpulkan usahawan Sarawak bagi memasarkan dan mempromosikan produk mereka di platform tersebut.

Jelas beliau, pihaknya mendapat maklum balas positif dan cadangan daripada Baginda untuk menambah lagi variasi produk serta memasukkan produk yang dihasilkan oleh banduan dari Penjara Puncak Borneo.

“Respon amat baik. Tengku Ampuan Pahang menyatakan bahawa produk di sini perlu diperbanyakkan lagi. Menurut Baginda, produk yang ada sudah mencapai kualiti yang baik. Komen yang paling membina adalah kerana kita berjaya mengumpul pelbagai jenis produk, bukan sahaja makanan, tetapi juga produk lain.

"Selain itu, terdapat cadangan untuk melibatkan produk daripada pihak penjara,” katanya.

Setakat November 2025, Sense of Malaysia Kuching mencatat jualan sebanyak RM1.17 juta sejak beroperasi pada 1 Jun tahun lepas.

Sebanyak 25 komuniti usahawan tempatan dalam pelbagai kategori, termasuk fesyen, kraf, tekstil, aksesori, makanan kering, kosmetik dan kesihatan, telah menempatkan produk mereka untuk dijual.

EZA YUSMAWATI YAACOP