PUTRAJAYA, 16 Januari- Tempoh proses dan kemasukan pekerja asing ke Malaysia akan dikurangkan kepada 15 bulan 23 hari berbanding 29 bulan 13 hari sebelum ini.
Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu melibatkan pengurangan yang signifikan sehingga 46 peratus.
Saifuddin berkata ia akan dilaksanakan selepas kuota pengambilan pekerja asing yang ditutup pada 17 Mac tahun lalu kembali dibuka semula.
"Dari mana datang pengurangan itu, misalnya bayaran levi tempoh lama 30 hari tetapi apabila kita teliti data majikan, apabila dapat kelulusan hampir 70 peratus majikan bayar dalam tempoh 15 hari.
"Jadi kenapa kita perlukan masa sehingga 30 hari. Jadi kita pendekkan kepada 15 hari, sebagai contoh," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja asing Kali ke-10 di sini.
Dalam perkembangan sama kerajaan juga akan meneliti semula Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan 15 negara sumber pembekal tenaga kerja ke negara ini.
Perkara itu mencakupi pelbagai perkara berkaitan pengurusan pengambilan pekerja asing seperti yuran, kos, syarat kontrak dan kesihatan.
"MOU satu dokumen persefahaman yang dinamik bukan statik dan hari ini kita setuju bahawa kita akan memasuki proses melawat semula keperluan untuk meneliti butiran perjanjian dengan negara sumber," kata Saifuddin.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan pelaksanaan semula Program Rekalibrasi penghantaran pulang warga asing yang dihentikan sejak tahun lalu namun pelaksanaanya tertakluk kepada persetujuan jemaah menteri.
Berkenaan bertukar majikan, Saifuddin berkata perkata itu dibenarkan khususnya bagi memenuhi sektor yang memerlukan seperti dalam sektor pertanian dan perladangan.
Pertukaran itu boleh dibuat kepada majikan yang membawa masuk pekerja asing tetapi tidak dapat menyediakan pekerjaan kepada mereka.
Saifuddin menjelaskan kaedah tersebut dipersetujui jawatankuasa bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia mengenai pengurusan pekerja asing.
"Itulah kaedah yang diguna pakai. Majikan sudah bawa masuk kemudian dia tidak boleh adakan pekerjaan, opsyen penghantaran pulang tidak boleh. Apabila memasuki fasa kita hantar kemudian dia sudah masuk kategori buruh paksa. Ia akan menjejaskan reputasi kita.
"Jadi jawatankuasa ini dalam dua mesyuarat terdahulu kertas yang dibentang oleh Jabatan Tenaga Kerja membolehkan dibuat proses pertukaran majikan," katanya