PUTRAJAYA, 2 Februari- Hukuman ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan pengurangan sebanyak 50 peratus bagi hukuman penjara dan denda yang perlu dibayar.
Keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada Isnin lalu.
Justeru, Najib bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar adalah RM50 juta.
"Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.
"Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah selama setahun, dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029," menurut kenyataan Urusetia Lembaga Pengampunan, Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Jelas pihak itu, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum keputusan berkenaan dibuat.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.