
KOTA BHARU, 11 Februari – Isu penyeludupan barangan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan Kelantan hanya dapat diselesaikan sepenuhnya melalui pembinaan tembok keselamatan.
- Penyeludupan menukar laluan ke laut; sukar dikesan tanpa pemasangan radar dan sistem pengawasan maritim.
- Pembinaan tembok keselamatan dianggap perlu untuk menyelesaikan isu sempadan secara tuntas.
- Teknologi sahaja tidak mencukupi; kawalan fizikal dan kerjasama awam diperlukan untuk membanteras penyeludupan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, penyeludup menggunakan pelbagai kaedah untuk memasuki negara ini dan trend terbaharu menunjukkan mereka beralih menggunakan laluan laut bagi membawa masuk barangan haram serta PATI.
Menurut beliau, meskipun jumlah kes menunjukkan penurunan ketara sejak penutupan pangkalan haram pada Disember 2024, masih terdapat baki kes yang berlaku.
“Bukan transit, memang Kelantan ini kawasan sempadan dan sudah pasti mereka akan masuk melalui kita. Penyeludup menggunakan jalan air dan jalan laut.
“Kita perketatkan sempadan sungai dan kita percaya mereka menggunakan laluan laut kerana kawasan laut ini luas. Selagi kita tidak memasang radar atau sistem pengawasan laut di sempadan, agak sukar untuk memantau pergerakan bot kerana ia boleh sampai ke Besut dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bagi Februari 2026, di sini.
Datuk Mohd Yusoff memaklumkan, sejak larangan memasuki negara melalui pangkalan haram dikuatkuasakan, penyeludupan berjaya dikurangkan sehingga 95 peratus.
Namun, baki lima peratus masih berlaku disebabkan faktor manusia yang sentiasa mencari peluang serta faktor geografi Sungai Golok yang sempit.
Menurut beliau, sempadan Kelantan-Thailand sepanjang 136 kilometer bermula dari Pengkalan Kubor hingga Jeli menyukarkan pemantauan, khususnya di laluan sungai dan laut.
Penempatan 17 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) hanya meliputi sebahagian kawasan, manakala operasi berkala pasukan petugas di darat dan laut terus dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.
Beliau turut menjelaskan penggunaan teknologi seperti dron atau kecerdasan buatan (AI) sahaja tidak mampu menyelesaikan isu sepenuhnya dan pendekatan konvensional masih diperlukan.
Sehubungan itu, orang ramai diseru menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram bagi membanteras penyeludupan barangan serta kemasukan PATI.