
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Temasya Sukan Radio Televisyen Malaysia (RTM) kali ke-13 bakal berlangsung selama tiga hari bermula esok selepas kali terakhir dianjurkan lapan tahun lepas.
- Mengumpulkan semua kontinjen dari enam zon Jabatan Penyiaran untuk memperkukuh semangat kekeluargaan dan kerjasama warga RTM.
- Menawarkan enam acara sukan termasuk bola jaring, bola sepak, bola tampar, badminton, ping pong dan sepak takraw.
- Menekankan objektif menyatukan kakitangan dan menggalakkan gaya hidup sihat melalui temasya selama tiga hari.
Menurut Pengerusi Kelab Sukan dan Rekreasi RTM Angkasapuri, Ts. Tarmimi Sahad, kontinjen zon tengah akan menyertai semua sukan yang dipertandingkan dengan penglibatan seramai 75 peserta.
“Kali ini, selepas beberapa tahun kejohanan ini tidak dianjurkan, kita kembali mengadakannya dengan kelainan apabila menghimpunkan semua kontinjen dari setiap zon. Semua peserta berkumpul di sini selama tiga hari bagi menjayakan kejohanan ini.
“Objektif utamanya adalah untuk menyatukan semua kakitangan RTM, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan warga RTM sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita di Angkasapuri Kota Media di sini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pemain bersikap profesional sepanjang temasya berlangsung selain memperkukuh kerjasama dan semangat kekeluargaan antara kira-kira 4,000 peserta warga RTM yang menyertai di seluruh negara.
Sebanyak enam sukan akan dipertandingkan iaitu bola jaring, bola sepak, bola tampar, badminton, pin pong dan sepak takraw melibatkan lokasi Pusat Rekreasi RTM, Angkasapuri Kota Media dan Pusat Sukan Indah Water Konsortium Pantai Dalam.
Temasya bertemakan ‘Kita Aktif’ itu disertai enam zon Jabatan Penyiaran iaitu zon utara, zon selatan, zon timur, zon tengah, zon Sabah dan zon Sarawak.