fb fb fb fb fb

Teliti semula pelajar cemerlang SPM gagal ke IPT - TPM Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid (tengah) ketika merasmikan Program KeDesa Didik MADANI 2025 di Politeknik Bagan Datuk, hari ini./BERNAMA

BAGAN DATUK, 17 Jun - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diminta meneliti semula pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun maklum jumlah pengambilan pelajar ke setiap IPT terhad, beliau berharap semua pelajar terbabit diberikan peluang sewajarnya.

Menurutnya, semua calon yang mempunyai keputusan cemerlang harus diberikan tempat mengikut program matrikulasi, kursus asasi atau ke tahun pertama di peringkat universiti.

"Pelajar-pelajar ini perlu mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan tinggi kerana bukan hanya cemerlang dalam peperiksaan tetapi juga harapan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa Madani (KeDesa) Didik MADANI 2025 di Politeknik Bagan Datuk, hari ini.

Program berkenaan disertai lebih 1,000 pelajar sekolah menengah di sekitar Bagan Datuk dan masyarakat setempat.

Ia bagi memberi pendedahan dan saluran pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar dan pedalaman.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN