
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Keperluan untuk menambah baik penggunaan perkhidmatan bas percuma GoKL sedang diteliti bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
- Pertimbangan mengenakan bayaran kepada pengguna tertentu selepas kajian menyeluruh.
- Pastikan perkhidmatan percuma dibiayai cukai sampai kepada golongan benar-benar memerlukan seperti warga emas dan pelajar.
- GoKL kini ditanggung sepenuhnya oleh DBKL; kajian lanjut untuk capai keseimbangan akses percuma dan kelestarian kewangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha itu termasuk mengkaji kemungkinan mengenakan bayaran kepada pengguna tertentu, namun keputusan hanya akan dibuat selepas penelitian menyeluruh dilakukan.
Langkah itu penting bagi memastikan penggunaan perkhidmatan tersebut dapat dioptimumkan tanpa membebankan sistem sedia ada.
“Kita nak galakkan orang guna pengangkutan awam supaya beban dapat dikurangkan, bukan ditambah. Tapi kita juga kena pastikan penggunaan GoKL dimaksimumkan. Kita tak mahu buat keputusan tergesa-gesa, kita akan kaji data termasuk pelajar yang tidak hadir ke sekolah mungkin kerana kekangan kos pengangkutan.
“Apa-apa yang percuma ini sebenarnya dibiayai oleh cukai, jadi kita mahu pastikan ia sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti warga emas dan pelajar,” jelasnya dalam Sidang Media Inisiatif Baharu Pesakit Rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan perkhidmatan GoKL kini ditanggung sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dengan kos mencecah kira-kira RM30 juta.
Kajian lanjut akan terus dilakukan bagi memastikan keseimbangan antara akses percuma dan kelestarian kewangan dapat dicapai.
Turut hadir Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, Ketua Pengarah JWP, Datuk Parang Abai @ Thomas, Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, Pengarah Kesihatan Negeri WP KL & Putrajaya, Datin Dr. Haliza Abdul Manaf dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Bandar DBKL, Encik Muhammad Azri Abdul Aziz.