SINTOK, 3 Disember- Penggunaan teknologi realiti terimbuh atau 'augmented reality', (AR) berjaya memberi nilai tambah dari aspek tarikan kepada pengunjung seperti yang dilaksanakan di Kota Kuala Kedah.
Menerusi penggunaan teknologi AR, pengunjung dapat kembali ke zaman silam dan melihat gambaran situasi ketika berlakunya Perang Kedah-Siam pada 1821.
Projek AR dinamakan 'Menelusuri Perang Kedah-Siam' ini dibangunkan pensyarah dari Universiti Utara Malaysia, UUM di bawah geran Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, SKUM berjumlah RM9,132.
Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, SMMTC UUM, Fakhrul Anuar Aziz, projek tersebut dimulakan pada bulan April dan diserahkan kepada pihak Jabatan Muzium Malaysia pada September 2023.
Fakhrul Anuar, Dr. Husniza dan Ts. Dr. Noradila mengambil masa 4 bulan bagi menghasilkan 6 modul AR sejarah Perang Kedah-Siam 1821
Projek kerjasama UUM, Jabatan Muzium Malaysia dan SKUM ini berjaya membina 6 modul AR dengan durasi setiap modul 2 minit.
Fasa percubaan dibuat selama dua minggu sebelum penyerahan projek bagi memastikan semua kandungan AR berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Kami menghasilkan video pendek dengan durasi 2 minit adalah berdasarkan kajian bahawa penonton lebih berminat dengan video-video pendek. Cabarannya adalah, kami terpaksa menyediakan kandungan padat yang penuh maklumat tetapi mudah difahami pengunjung ke Muzium Kota Kuala Kedah ini.
“Pihak kami mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar sejarah Kedah yang terkenal iaitu Herman Roslan untuk memberi fakta tepat mengenai peristiwa Perang Kedah-Siam pada 1821,” jelas beliau.
Berdasarkan fakta tersebut, pasukan pensyarah UUM yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Husniza Husni, Ts. Dr. Noradila Nordin dan Fakhrul Anuar, dapat membangunkan kandungan AR secara terperinci di setiap sudut tembok Kota Kuala Kedah.
Hasilnya, 6 lokasi AR ditempatkan di sekitar tembok bersejarah yang menceritakan detik-detik berlakunya pertempuran askar Kedah dan askar Siam di kota berkenaan.
Pengunjung ke Kota Kuala Kedah hanya perlu mengimbas kod QR untuk mendapatkan maklumat dan gambaran mengenai peperangan itu.
Dengan cara itu, selain melawat lokasi, pengunjung boleh mendapatkan maklumat dengan pantas berhubung sesuatu peristiwa sejarah.
Nilai tambah dan penggunaan teknologi AR ini selaras dengan program pendigitalan untuk pameran bahan-bahan sejarah dan artifak Jabatan Muzium Malaysia.