KUALA LUMPUR, 4 Disember – Teknologi inovatif seperti kecerdasan buatan (AI) dan analisis data perlu dimanfaatkan dalam memperkukuh sektor kesihatan negara, dengan potensi meningkatkan pengesanan awal dan penjagaan optimum untuk rakyat.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata penerapan teknologi itu perlu selaras dengan keutamaan dan keperluan negara.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menggubal dasar berkaitan penggunaan AI, seperti dalam aplikasi pengimejan X-ray, untuk membantu petugas kesihatan. Kami juga sedang memperhalusi had-had penggunaan AI kerana teknologi ini semakin berkembang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Healthtech Innovation Connect 2024, di sini.
Pada majlis tersebut, Lukanisman turut melancarkan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) dan sistem AI Dr. MATA.
MaHTAS berperanan menyelaraskan pembangunan, penilaian, penerimaan, dan pelaksanaan teknologi kesihatan di Malaysia, manakala Dr. MATA direka untuk mengesan dan memberi diagnosis retinopati diabetes.