LUNDU, 22 Mei- Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menghalang kemasukan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Biawak, di sini pada pukul 10.30 pagi tadi.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya, Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, PATI tersebut ditahan sepasukan anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat.
"Sepasukan anggota TDM dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) yang sedang melaksanakan rondaan di Sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Biawak terserempak dengan lima Pati terbabit yang sedang berjalan dari arah sempadan Indonesia.
"Anggota tentera bertindak menahan mereka untuk membuat pemeriksaan dan hasil soal siasat mendapati mereka dalam perjalanan untuk bekerja di Malaysia," katanya.
Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun.
PATI berkenaan kemudiannya dibawa ke sempadan negara untuk pengusiran selepas diperiksa dan tidak mempunyai barang terlarang dan berbahaya.
Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lundu bagi tindakan pengusiran dibuat mengikut peraturan semasa.