PORT DICKSON, 27 Januari - Penyertaan golongan bukan bumiputera dalam pasukan tentera darat masih lagi di tahap yang rendah, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Menurut beliau, ia berkemungkinan berpunca daripada beberapa faktor, antaranya kurang mendapat dorongan daripada ibu bapa serta masyarakat.
Katanya, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan meneruskan usaha berterusan dengan membuat promosi bagi menggalakkan penyertaan kaum bukan bumiputra menyertai perkhidmatan itu.
Antara usaha yang akan diteruskan adalah kerjasama dengan institusi sekolah dan pengajian tinggi untuk menarik lebih ramai penyertaan anak muda dari pelbagai kaum.
"Untuk tahun hadapan, kita tingkatkan usaha untuk mencari lebih ramai lagi perajurit muda yang berkelulusan diperingkat diploma dan ke atas, dengan ini kita dapat sumber modal insan lebih intelektual untuk angkatan tentera darat.
"Penyertaan golongan bukan bumiputera masih lagi di tahap yang rendah iaitu di bawah tiga peratus dan akan melaksanakan usaha berterusan bagi menarik minat golongan tersebut dengan kolobrasi pelbagai agensi," katanya kepada pemberita di sidang media sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan seramai 1,436 perajurit muda diraikan selepas tamat latihan asas ketenteraan selama enam bulan.
Perbarisan tersebut turut diiringi oleh Pancaragam Gabungan Tentera Darat yang dipimpin oleh Leftenan Mohd Fahmy Harun.
Muhammad Ilham Ikhwan Shawal telah mengetuai perbarisan tersebut dan beliau juga turut menerima anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik.
Pada majlis itu juga, Koperal Mazlan Abdul Rahman, 35, dinaikkan pangkat kepada Sarjan berkuatkuasa hari ini sebagai tanda penghargaan selepas anggota tentera itu terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang untuk menyelamatkan dua individu, pada 15 Januari lalu.
Beliau turut dianugerahkan lambang tertinggi keberanian warga Tentera Darat Malaysia (TDM) Pisau Tentera Darat, menerima Sijil Penghargaan Khas di atas keberanian luar biasa yang dipamerkan dan sumbangan peribadi daripada Panglima Tentera Darat (PTD).