TDM laksana transformasi holistik capai aspirasi AMH-D2

Pasukan perbarisan Rejimen Tentera Darat melakukan lintas hormat sempena Majlis Sambutan Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April – Tentera Darat Malaysia (TDM) kini sedang melalui fasa transformasi menyeluruh bagi memenuhi keperluan ‘Angkatan Masa Hadapan Domain Daratan’ (AMH-D2).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penstrukturan semula selaras KPP dan SKN 2.0 untuk angkatan modular, tangkas, berkuasa tempur tinggi dan mudah diatur gerak
  • Perkukuh kawalan sempadan melalui penugasan tambahan, naik taraf pos, aset moden seperti dron dan ATV, serta keutamaan kebajikan anggota
  • Perkasakan diplomasi ketenteraan melalui latihan bilateral dan multilateral bagi meningkatkan kebolehkendalian serta perkongsian amalan terbaik

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman berkata, langkah tersebut melibatkan penstrukturan semula postur pasukan bagi mencapai ciri-ciri yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) serta Strategi Ketenteraan Negara (SKN 2.0).

“Evolusi ini menuntut TDM membangunkan keupayaan yang kredibel, tangkas, dan tuntas. Malah, struktur angkatan perlu bersifat modular, berkuasa tempur tinggi, serta mudah diatur gerak.

“Menjelang usia 93 tahun, pasukan ini menetapkan hala tuju jelas untuk menjadi angkatan yang sentiasa bersedia bagi mendepani ancaman hibrid, peperangan pelbagai domain, serta ketidaktentuan geopolitik serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kedaulatan negara, Datuk Azhan menegaskan komitmen TDM dalam memperkukuh kawalan sempadan menerusi peningkatan penugasan anggota di lapangan.

Menurut beliau, kebajikan serta keselesaan anggota yang bertugas di perbatasan turut diberi keutamaan melalui usaha menaik taraf pos kawalan sedia ada.

“Selain kemudahan fizikal, anggota kini dilengkapi aset moden seperti dron, motosikal lasak, kenderaan semua rupa bumi (ATV), serta peralatan optronik terkini bagi meningkatkan keberkesanan operasi,” tambah beliau.

Sementara itu, dalam aspek kerjasama antarabangsa, TDM tekad memperkasakan diplomasi ketenteraan menerusi latihan bilateral dan multilateral dengan negara luar.

Inisiatif berkenaan dilihat kritikal bagi meningkatkan keupayaan operasi, saling boleh kendali, serta perkongsian amalan terbaik dalam mendepani cabaran keselamatan global secara bersama.