GOMBAK, 16 Mac – Terminal Bersepadu Gombak (TBG) mula menerima kemasukan lebih 20 bas pada hari pertama tempoh percubaan pengoperasiannya semalam, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain.
Eksekutif Pemasaran TBG, Nur Afifah Hamdan berkata operasi terminal itu dimulakan secara berperingkat dengan hanya menerima penumpang dari Pantai Timur sebelum meneruskan perjalanan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
Selain berfungsi sebagai hab pengangkutan, TBG juga beroperasi sebagai terminal berkonsep pusat beli-belah.
“Setakat semalam, lebih 50 kedai telah beroperasi, dan jumlah ini akan meningkat kepada lebih 100 buah kedai. Selain itu, terdapat pelbagai kemudahan disediakan termasuk dewan perkahwinan, gelanggang ‘pickleball’, serta medan selera untuk kemudahan pengunjung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
TBG dijadualkan memulakan operasi rasmi pada 22 Mac dan bakal menjadi hab utama bagi perjalanan ke Pantai Timur, termasuk Pahang, Terengganu, dan Kelantan, selain destinasi lain seperti negeri-negeri di utara.
Selain itu, terminal tersebut juga menyediakan perkhidmatan bas antara bandar dan dihubungkan terus dengan stesen LRT Gombak serta stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Gombak.