KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Tawaran pelantikan jawatan tetap kepada 4,500 doktor kontrak dan 935 graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) mulai tahun hadapan disifatkan sebagai satu langkah drastik Kerajaan MADANI bagi menyelesaikan isu kebajikan petugas kesihatan.
Pensyarah Kanan Fisiologi Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Razif Dasiman berpendapat, langkah itu mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan terhadap permasalahan sektor kesihatan, khususnya berkaitan status jawatan pegawai perubatan dan jururawat di bawah KKM.
"Ia merupakan langkah drastik yang diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu-isu kebajikan para doktor dan juga petugas kesihatan.
"Inisiatif yang diwujudkan ini juga menunjukkan keprihatinan berterusan pihak kerajaan dalam memperkasakan isu-isu berkaitan dengan kesihatan," katanya ketika dihubungi Berita RTM, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memgumumkan peruntukan RM46.5 bilion kepada KKM dalam Belanjawan 2026 berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini bagi memastikan capaian perkhidmatan kesihatan yang bermutu, adil dan mampu.
Menurut Razif, beliau menyambut baik usaha kerajaan yang memberi tumpuan kepada beberapa aspek utama dalam usaha menangani isu-isu meruncing dihadapi perkhidmatan kesihatan negara.
"Kerajaan menumpukan kepada isu-isu prasarana kesihatan awam bagi mengatasi kesesakan di hospital kemudian berkenaan kenaikan inflasi perubatan.
"Selain itu, kerjasama antara industri dengan kementerian yang mana ia menjamin ketentuan bekalan ubat-ubatan di Malaysia mencukupi," katanya.
Tambah beliau, inisiatif tersebut juga selari dengan komitmen kerajaan dalam memperkasakan sistem kesihatan negara di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat.