HONG KONG, 8 Oktober- Hong Kong mengeluarkan isyarat amaran ribut pada tahap ketiga tertingginya pada Ahad.
Amaran itu menyebabkan beberapa perkhidmatan pengangkutan dan sekolah ditutup, ketika Taufan Koinu melanda selain membawa hujan dan tiupan kuat.
Koinu mula melanda Hong Kong sebulan selepas diserang Taufan Saola. Ia mencetuskan amaran ribut "T10" tertinggi di Hong Kong. Bandar itu mengalami hujan tertinggi dalam tempoh hampir 140 tahun dan membanjiri stesen kereta api bawah tanah, pusat membeli-belah serta menyebabkan tanah runtuh.
Balai cerap cuaca Hong Kong mengeluarkan amaran berkenaan angin kencang dan hujan lebat kerana Koinu dijangka bergerak sejauh 70 kilometer ke selatan Hong Kong sebelum tengah malam. Balai Cerap Hong Kong, memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya mengelak kawasan rendah sekiranya berlaku ribut.
Isyarat "T8" Taufan Koinu merupakan ketiga tertinggi dalam sistem amaran Hong Kong dengan kelajuan angin berterusan meningkat sehingga 117 kilometer sejam. Kelajuan angin maksimum oleh ribut itu diperhatikan pada berada pada kelajuan 145 kilometer sejam. Sekolah, pusat jagaan, terminal kargo, feri dan bas menggantung operasi pada sebelah petang.
Menurut Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Hong Kong kira-kira 90 penerbangan dibatalkan dan 130 yang lain ditangguhkan sepanjang hari akibat ribut itu. Kerajaan Hong Kong menerima laporan mengenai empat pokok tumbang dan dua orang cedera semasa taufan itu melanda pada petang Ahad.
Koinu telah meragut nyawa penduduk di Taiwan serta membawa hujan lebat dan angin sebelum melanda Hong Kong. Ribut itu menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut dan memutuskan bekalan elektrik ke ratusan ribu rumah di kawasan itu.
China Selatan sering dilanda taufan terbentuk di lautan panas di timur Filipina dan kemudian melanda ke barat pada musim panas dan musim luruh. Menurut pakar perubahan iklim menyebabkan ribut tropika tidak dapat diramalkan selain membawa lebih banyak hujan dan tiupan angin lebih kuat yang membawa kepada banjir kilat serta kerosakan pantai.- AFP
(Payung seorang lelaki terbalik akibat tiupan angin di Hong Kong/AFP)