SANDAKAN, 27 September - Tatakelola yang baik dan efisien dalam pentadbiran keselamatan menjadi tunjang kepada keamanan serta kedaulatan negara, termasuk usaha mengekang jenayah laut dan darat seperti penyeludupan dadah, senjata, pasaran gelap serta penyelewengan barangan yang merugikan rakyat dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan memperuntukkan RM21.6 bilion bagi memperkasa kesiapsiagaan pasukan keselamatan termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam menjaga keselamatan negara.
“Ini semua memerlukan angkatan yang berdisiplin dan mempunyai tatakelola yang baik. Jangan lupa, tatakelola mesti diperkukuh, ketirisan dan rasuah mesti dihalangi. Tidak kira betapa hebat negara, keselamatan jangan dipandang ringan. Tatakelola yang baik akan memberi kesan positif, termasuk kepada sektor pelancongan,” katanya.
Beliau menegaskan, kekukuhan aset keselamatan bukan sahaja menjamin kedaulatan negara, malah memberi impak besar kepada sektor pelancongan dengan meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa untuk datang ke Malaysia.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Wira MADANI Zon Maritim, yang menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan fungsi serta peranan Maritim Malaysia dalam menjaga perairan negara, selain menyantuni komuniti setempat.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dalam ucapannya memaklumkan Maritim Malaysia bertanggungjawab mengawal kawasan perairan negara seluas 6,500 kilometer persegi, mengekang jenayah rentas sempadan serta melaksanakan lebih 438,000 pemeriksaan.
Katanya, Program Wira MADANI yang diilhamkan Perdana Menteri menjadi pemangkin semangat dan bermakna kepada semua agensi keselamatan negara.